KEPUTUSAN sama ada K Nanthakumar kekal bersama Perak untuk musim 2011 akan diketahui selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang pulang dari luar negara, semalam.
“Keputusan kedudukan saya akan terjawab selepas mengadakan pertemuan dengannya,” katanya.
Menurut Nantha tujuan pertemuan itu ialah untuk mendengar penjelasan Presiden Pafa itu terhadap tindakan memotong gajinya.
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan dan dimaklumkan mengenai pemotongan gaji itu.
“Saya difahamkan ia keputusan majlis. Oleh itu saya ingin dengar daripada mulut Presiden sendiri.
“Saya cuma ingin tahu kenapa tindakan itu dikenakan sedangkan saya buktikan kesetiaan kepada negeri dengan menjadi pemain senior tunggal pulang ke pangkuan pasukan awal tahun ini.
“Sudahlah gaji tidak tinggi dipotong pula. Pemain muda sebaliknya dinaikkan gaji.
“Pemain luar yang menyertai Perak tahun ini juga menerima tawaran gaji lebih tinggi berbanding saya,” katanya yang mengaku belum mengikat kontrak dengan pasukan Seladang.Apapun segala keputusan mengenai kedudukannya bersama Seladang akan dibuat selepas perbincangan dengan Presiden Pafa itu.
“Tengoklah macam mana. Saya tidak boleh berkata apa-apa masa ini. Namun, yang pasti jika boleh saya mahu terus beraksi untuk negeri asal saya,” katanya.
Nantha, 33, yakin mampu memberi khidmat kepada pasukan Seladang seperti dilakukan pemain Selangor, Khairul Anuar Baharom pada usia 36 tahun.
Mengenai lamaran pasukan lain, Nantha, yang pulang ke pangkuan Perak musim ini selepas berkelana ke Selangor selama dua musim tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu.