CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Live/Chat Box

Saturday, May 1, 2010

Khalid ikrar julang maruah T-Team


"SAYA hormati dan akan patuh kepada kelab ini." Itu janji Khalid Jamlus kepada pihak pengurusan dan seluruh penyokong setia T-Team sepanjang dia menyarung jersi kelab dari Pantai Timur itu. Menurut bekas penyerang kebangsaan itu, dia juga sudah bersedia untuk menyumbang dan berkongsi pengalaman bersama pemain lain demi menjadikan T-Team sebagai pasukan yang disegani. Kenyataan Khalid itu disuarakan sejurus dia melengkapkan perjanjian bersama T-Team menerusi kontrak sehingga penghujung musim ini pada majlis di Royal Terengganu Equestrian Stable (RTES) Lembah Bidong, Setiu semalam.

"Ramai orang melabel saya sebagai pemain yang tidak berdisiplin dan suka buat hal. Tapi sebagai pemain bola profesional, saya tahu tanggungjawab saya kepada pasukan. "Apapun, segala kemelut yang berlaku antara saya dengan bekas kelab saya (ATM) saya sudah lupakan. Ia sangat peribadi untuk diterangkan. "Bagaimanapun, saya berjanji akan memberi komitmen sepenuhnya sepanjang berada di kelab ini," jelas Khalid.

Awal musim ini, penyerang berusia 33 tahun itu yang pernah mewakili Perak, Selangor dan Pahang telah menandatangani kontrak bersama ATM. Bagaimanapun, sepanjang berada di kelab itu, Khalid tidak pernah diturunkan, malah digugurkan daripada senarai pemain ATM.

"Kenapa perlu saya kekal bersama pasukan yang tidak mahu menggunakan khidmat saya lagi. "Kini, saya mahu membina karier baru bersama T-Team dan saya percaya akan kemampuan dan pengurusan kelab ini," tambahnya.

Sementara itu, pengurus pasukan T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, kes yang menimpa Khalid adalah sangat unik dan atas sebab itu mereka telah menawarkan kontrak kepada pemain itu.

"Kita dimaklumkan kontrak Khalid bersama ATM telah dibatalkan pada 2 Februari lalu. Jadi, tidak ada alasan mengapa kami tidak boleh membelinya. Saya percaya Khalid masih boleh menyumbang sesuatu kepada pasukan. "Kita akan mengemukakan permohonan ini (pembelian Khalid) kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia sempena musim jual beli pemain yang bermula pada 5 Mei ini. "Saya percaya permohonan kami ini akan mendapat pengesahan daripada FAM kerana apa yang berlaku ke atas Khalid adalah satu kes yang unik," katanya.

Jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki pula berkata, kehadiran Khalid diharap dapat menyelesaikan masalah di bahagian serangan pasukannya.

"Kami memiliki ramai pemain yang hebat terutamanya di bahagian tengah dan jentera pertahanan. "Bagaimanapun, kami berdepan masalah kerana tidak mempunyai pemain yang mampu menjaringkan gol dengan konsisten. "Jadi kehadiran Khalid ini menerusi gandingannya bersama Haris Safwan dan Abdul Hadi Yahya mampu menyelesaikan masalah itu," ujarnya.


Sumber:harian Kosmo

0 comments:

Related Posts with Thumbnails